1 2

Saturday 15 February 2014

Kenali Saya

Teks: Syahmi Shah

Assalamualaikum, terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entri pertama saya. Segala puji bagi Allah kerana telah menyusun masa dengan baik sekali. Memberikan kita kudrat untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Nama saya, Muhamad Syahmi Arib bin Mohd Shah. Nama ini diberi oleh kakak saya yang bermaksud mulia, berani dan bijak. Saya dilahirkan di Kedah. Sebelum itu, keluarga pernah menetap di Sabah untuk beberapa tahun.

Mendapat pendidikan awal, di Sekolah Kebangsaan Kampong Jawa. Seterusnya, menyambung pengajian ke SMK Agama Yan. Hidup sebagai anak lelaki tunggal bukanlah mudah. Saya perlu memastikan segala-galanya terlaksana dan banyak amanah yang dipikul.

Secara jujurnya, bahan bacaan pertama yang saya baca ialah novel grafik ketika berumur 9 tahun. Sejak kecil, saya suka menconteng dinding. Alat-alat menconteng yang selalu digunakan, pensel warna kayu Stabilo yang berwarna merah dan gincu ibu juga yang berwarna merah. Warna-warna terang sememangnya menjadi pilihan sanubari.

Selepas usia semakin meningkat, saya beralih kepada bahan bacaan yang lebih berat, novel. Novel pertama yang saya baca ialah Detektif Bertudung Hitam, karya Bahruddin Bekri. Novel ini hampir dirampas oleh guru  kerana orang lain sibuk membuat rujukan untuk kertas soalan yang berikutnya. Saya pula habiskan masa membaca novel. Akhirnya, novel ini tidak dapat saya habiskan.

Namun saya tidak putus asa! Saya tetap mahu membaca. Jadi, takdir menemukan saya dengan novel Aku Mahu Superbibik hasil karya Ain Maisarah. Tidak puas dengan hanya satu novel, saya mengikuti novel-novel terbaharu beliau sehingga kini. Novel bahasa Inggeris menarik minat saya ketika berada di darjah 6. Siri pertama yang dibaca, Jack Gets a Clue. Kisah seorang budak lelaki yang boleh bertutur dengan haiwan dan menyelesaikan setiap misteri dengan rakan penyiasatnya.

Selain itu, saya ada juga hobi yang lain. Contohnya, mendesain grafik dan mempelajari bahasa asing. Saya mula mendesain grafik sejak tahun 2012. Minat itu timbul apabila melihati banyak akaun Facebook yang menawarkan perkhidmatan mendesain grafik secara percuma. Saya mengasah bakat mendesain grafik dengan merujuk kepada tutorial-tutorial di Internet.

Apa bahasa asing yang saya pelajari? Saya mula didedahkan dengan bahasa asing di sekolah rendah. Guru saya dari darjah dua hingga darjah enam, Ustazah Fatonah mengajar saya bahasa Arab. Dari situ, saya kekalkan minat itu ke alam sekolah menegah dengan memilih sekolah agama. Seterusnya, saya mula mendekatkan diri dengan bahasa Korea atas minat yang mendalam dengan dunia K-Pop.

Sejak kecil, saya mula memikirkan. Apa cita-cita saya? Bermula daripada kerjaya sebagai seorang doktor sehinggalah saintis, saya terokai. Malangnya, semangat itu hilang sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Saya menjalani hidup seperti manusia yang biasa sambil memikirkan masa depan.

Pada satu hari, saya terlihat status Haryani Kamilan iaitu seorang penulis di Pensel Kontot. Status itu berkaitan dengan kelas menulis online anjuran Puan Mazlia Murat. Selama ini saya tidak tahu, nama penanya Aizam Aiman. Bermula daripada soalan, demi soalan saya mengambil langkah untuk berguru dengan beliau. Tidak dinafikan, perasaan teragak-agak itu ada. Atas dorongan sahabat, inilah saya pada hari ini. Bergelar alumni kelas online penulisan kreatif, pada masa yang sama sebagai seorang pelajar. Saya yakin kerjaya sebagai penulis adalah keputusan muktamad. Kata orang, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Sekian, daripada saya.