1 2

Monday 3 March 2014

Kisah Seorang Pelajar

Teks: Syahmi Shah
Gambar: Mazlia Murat



"Baiklah murid-murid, sekarang cuba buat praktis 8 pada muka surat 36 dalam buku teks itu ya,"

Arahan Cikgu Norlia tidak dihiraukan, Aizat lebih selesa meletakkan kepalanya di atas meja. Dia tidak berminat langsung mahu membuka buku ataupun memegang pen. Aizat pun runsing, baru-baru ini dia tidak ada semangat yang boleh membantunya untuk belajar.

"Aizat, baik kau buat apa yang Cikgu Norlia suruh sebelum Cikgu Norlia sendiri yang bangunkan kau," nasihat Johan yang sudah mula menyiapkan  beberapa soalan Matematik.

Pap! Pemadam papan putih itu tepat mengena sesaran. Bukan pada Aizat tetapi pada Johan. Seluruh kelas 3 Imtiyaz itu bergema dengan gelak tawa.

Sempat lagi Aizat berseloroh, "Sebenarnya, siapa yang tidur tadi?" kemudian dia sambung ketawa lagi. Akibat terlalu geram, Johan pantas menghadiahkan cubitan dibahu Aizat.

"Astaghfirullahalazim! Maafkan cikgu, Johan. Teruskan kerja kamu. Aizat berhenti ketawa, berdiri di atas kerusi sekarang!" Serta-merta mulut Aizat berubah muncung sedepa, dengan pergerakannya yang lemah longlai seperti tidak cukup zat kakinya perlahan-lahan diletakkan di atas kerusi.

"Assalamualaikum, Cikgu Norlia, maaf kerana mengganggu kelas cikgu. Saya ada satu pesanan daripada Cikgu Hanani, beliau minta Aizat pergi ke Bilik Kaunseling selepas tamat waktu sekolah hari ini. Terima kasih, cikgu."

Loceng menjerit menandakan tamatnya sesi persekolahan untuk hari ini. Aizat mengorak langkah menuju ke surau sekolah. Usai bersolat, Aizat terus menuju ke Bilik Kaunseling.

Pintu diketuk tiga kali berturut-turut. "Masuk!" Segera tombol pintu dipulas.

"Aizat, jemput duduk." Matanya, meliar memerhati segenap penjuru bilik itu. Semuanya tersusun rapi. Jelas sekali, Aizat tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat yang dipanggil Bilik Kaunseling itu.

Cikgu Hanani tidak lekang dengan senyumannya. Apa yang Aizat mampu lakukan, hanyalah membalas senyuman ikhlas itu.

"Cikgu, boleh saya tahu kenapa saya dipanggil untuk ke sini?" Aizat meluahkan persoalan yang terbuku di hati sejak tadi.

"Kenapa pula Aizat tanya cikgu? Kamu yang buat keputusan," balas Cikgu Hanani, ringkas.

Riak muka Aizat mula berubah. Cikgu Hanani hanya tertawa kecil, "bukankah kamu yang datang sendiri ke sini?"

"Eh, tadi ada orang beritahu saya yang Cikgu Hanani panggil saya untuk ke Bilik Kaunseling?" Aizat menjawab.

"Ya dan kamu boleh buat pilihan untuk terus balik ke rumah sahaja. Sebaliknya, kamu datang ke sini." penerangan Cikgu Hanani itu merungkai tanda tanya di fikirannya.

"Hehehe... betul juga. Alang-alang saya ada di sini, boleh saya tanya cikgu? Kenapa saya perlu pergi ke sekolah?"

"Okey, giliran cikgu pula mahu tanya kamu. Kenapa orang sakit perlu makan ubat?" Cikgu Hanani sudah mangli dengan masalah-masalah pelajar yang dihadapi Aizat.

"Supaya cepat sembuh." Laju sahaja Aizat membalas.

"Jadi, kamu perlu pergi sekolah untuk tambah ilmu pengetahuan, bukan?"

"Cikgu, ilmu ada di mana-mana. Contohnya, Albert Einstein. Beliau masih boleh berjaya tanpa pergi ke sekolah."

Mata Cikgu Hanani membundar. Tidak sangka, sesi soal jawab itu makin bertambah rumit.

"Apa yang menyebabkan kamu tidak mahu pergi sekolah?" Cikgu Hanani bertanya lagi, mencuba.

"Setiap hari sama sahaja. Belajar, belajar dan belajar. Saya bosanlah cikgu. Hidup saya ibarat guli yang berpusing-pusing di dalam tempurung," Aizat menerangkan masalahnya.

"Itu sahaja masalahnya?"

Aizat mengangguk sebelum Cikgu Hanani berkata, "Senang sahaja, kamu perlu biarkan guli itu berpusing-pusing ligat supaya guli itu terlepas dan bebas mencorak kehidupannya."

"Maksud cikgu?" tanya Aizat, mendapatkan kepastian.

"Jika mahu keluar dari sangkar, cari kuncinya, jangan ditunggu. Untuk selesaikan masalah, bukan dengan hanya menunggu jawapannya. Berusaha, tawakal dan yang paling penting niat belajar kerana Allah."

Aizat terpempan. Niat? Dia sudah lupa atas tujuan apa dia datang ke sekolah. Sudah tentu kerana Allah. Menuntut ilmu itu satu ibadah.

"Kalau Aizat tidak kisah, cikgu mahu kongsi tip-tip untuk mengelakkan kebosanan ketika belajar. Pertama sekali, kamu memerlukan persekitaran yang bersih untuk belajar dengan selesa dan ceria. Beri tumpuan semasa guru mengajar. Pada masa lapang, cari bahan ilmiah yang bermanfaat. Di samping itu, menghiburkan. Contohnya, majalah pendidikan, komik-komik teladan dan banyak lagi. Jangan malu sekiranya mempunyai masalah, cerita pada cikgu. Insya-Allah cikgu boleh bantu." Tip-tip itu cuba dihafalnya. Rugi sekiranya dia terus pulang ke rumah tadi.

Air matanya mula bertakung di tubir mata, "Terima kasih, cikgu!" Hanya itu yang terlafaz di bibir. Kalau boleh, dia mahu segera memeluk Cikgu Hanani tetapi batas pergaulan harus dijaga. Biarlah, hanya Allah yang membalas jasa Cikgu Hanani di akhirat nanti. Sebelum pulang, Cikgu Hanani memberikan Aizat sebuah buku motivasi sekadar untuk mengisi masa lapang.