1 2

Wednesday 24 September 2014

Aku, Dia & Matematik

Teks: Syahmi MS
Foto: Google Image



Bismillah. Untuk entri kali ini, saya mahu kongsi mengenai kehidupan saya sebagai pelajar. Memang tidak dinafikan, naik-turun-naik-turun (betul atau tidak ya, tanda baca saya?)  dalam pelajaran ini sentiasa ada. Keperitan belajar ini memang menyeksakan! Namun, tidak sanggup pula saya untuk terjerumus dalam dunia kejahilan. Banyak kata-kata motivasi yang saya lontarkan kepada minda.

Peristiwa yang berlaku semalam ini, saya kongsikan sebagai peringatan untuk diri sendiri bahawa kita tidak keseorangan. Allah ada untuk menemani. Allah ada untuk mengasihi. Allah ada untuk mengampuni. Sebenarnya, karakter saya di sekolah amatlah berbeza dengan di rumah. Kalau di rumah saya seorang yang periang dan gila-gila. Di sekolah, saya alim-alim panda dan pendiam orangnya. Jadi, sifat saya itu meletakkan diri ini dalam situasi yang rumit.

Saya tidak ada kekuatan mahu bertanya. Saya tidak bersedia untuk bersemuka dengan guru. Akhirnya, saya terkulat-kulat sendiri, berforum dengan hati. Barulah, tergedik-gedik mahu menangis bila tidak faham apa yang guru ajarkan.

Baru sahaja jawab soalan yang pertama, saya sudah tidak senang hati. Mungkin ini balasan untuk dosa-dosa yang telah saya lakukan. Setelah lama menunggu, saya memutuskan untuk melelapkan diri seketika kerana jam pada waktu itu sudah berganjak menunjukkan pukul 11 malam dan saya bangun semula pada pukul 3 pagi.

Alhamdulillah, setelah ulang membaca soalan itu dua-tiga kali. Saya sudah faham apa yang perlu dicari, apa yang perlu dibaiki. Keadaan yang syahdu itu, membuatkan hati saya berasa tenteram. Walaupun pada akhirnya ada juga soalan-soalan Matematik yang saya tinggalkan, saya pujuk diri supaya tidak berputus asa. Bukan mudah mahu mendaki gunung dalam masa yang singkat.


Thursday 4 September 2014

Ulasan Buku: Gantung

Teks: Syahmi AS
Foto: Google Image


Assalamualaikum. Baru saya perasan sudah dua bulan saya tidak menulis entri! Rasa sangat kekok dan tiba-tiba rasa kosong. Padanlah, sudah lama jari-jari ini tidak mahu bekerjasama. Saya mengaku rasa tergerak hati mahu kemas-kini blog itu ada. Cuma, saya kerap kali terlupa. Syukur pada Allah, kerana mengingatkan saya masih ada perkara yang belum selesai. Sebenarnya, saya mahu tulis cerpen dahulu, tetapi saya memilih untuk menulis entri di blog sahaja, sekadar untuk panaskan badan.

Baiklah, mangsa reviu kali ini ialah Gantung. Ya, saya juga agak terkejut. Saya tidak pernah baca novel yang bergenre indie sebelum ini. Jadi, mula-mula saya ingatkan susah untuk sesuaikan diri. Jangkaan itu meleset. Novel bergenre indie pertama yang saya baca ialah Kelabu. Muka suratnya, (sudah tidak ingat berapa) dalam anggaran 400 lebih. Apa yang mampu saya ungkapkan selepas usai membaca adalah saya perlu baca lebih banyak lagi novel seperti ini!

Baiklah-baiklah, mari mulakan reviu.

Tajuk: Gantung

Penulis: Nadia Khan

Penerbit: Fixi

Blurb:

"Musketeer Code - no all for one, just one for all."
Gibbs, Ray, KJ dan Troll – sekumpulan pelajar lelaki paling popular dan paling akrab di sebuah sekolah asrama elit. Mereka berempat mencipta Musketeer Code - peraturan yang tidak membenarkan sesiapa antara mereka mempunyai steady girlfriend, tetapi sebarang skandal amat dialu-alukan untuk dikongsi oleh semua.
Sehinggalah peraturan itu dilanggar... dan seorang awek psiko mencetuskan tragedi yang bakal menghantui hidup mereka semua.
Ulasan:
Jujur, saya katakan. Saya ingat novel ini bekisar tentang remaja sahaja. Playboy dan sekali yang sama jenis dengannya, sampai saya tidak tahu kejutan yang banyak mempengaruhi saya! Saya memang takut untuk ke mana-mana kerana dihantui novel ini. Saya juga hampir-hampir tidak mahu menghabiskan novel ini kerana ada adengan yang tidak manis dibaca. Namun, saya kuatkan hati dan buka minda untuk menerima dengan reda. Di akhir cerita, saya dihantar satu hikmah yang sangat indah. Hikmah yang mengingatkan saya, siapa diri ini.  Apa yang saya faham tentang novel ini, kita tidak patut pentingkan diri dan sentiasa reda dengan qada' dan qadar. Saya sangat suka cara penulis susun plot. Memang menakjubkan! Saya juga syorkan novel ini dibaca, difahami dan dikaji. Kita tidak boleh menilai sesuatu itu dengan mata kasar.