1 2

Friday 4 April 2014

Bungkusan Dari Syurga

Teks: Syahmi MS
Foto: Google Image


Hilal menarik-narik baju si ibu, meminta supaya ibunya mendekatkan telinga, “Ibu, saya mahu beli komik ini.” Dia menunjukkan komik yang berada di tangan. Puan Badariah hanya tersenyum sebelum memeriksa dompetnya. Namun, apabila diperiksa wangnya tidak mencukupi mahu membayar harga komik itu. Hilang serta-merta senyuman yang tadi menghiasi bibirnya.

Tangan wanita yang berumur hujung 40 tahun itu pantas mencuit Zarina, anak sulungnya. “Pinjamkan dahulu wang kamu, nanti ibu bayar ya. Adik kamu mahu beli komik.” Permintaan si ibu hanya dibalas dengan jelingan sinis kepada adiknya.

“Kau bukannya tahu membaca pun. Tidak usahlah meminta yang bukan-bukan!” balas si kakak sebelum berlalu pergi ke bahagian alat tulis pula. Menyedari riak muka Hilal berubah mungkin terasa dengan percakapan kakaknya yang tidak bertapis, Puan Badariah segera memeluknya erat. Benar. Walaupun Hilal sudah berusia 9 tahun, dia masih tidak dapat membaca kerana dia dihantar ke sekolah tahfiz sejak kecil. Sekurang-kurangnya, Hilal pandai membaca al-Quran dan sudah mula menghafaz beberapa juzuk.

“Nanti apabila ibu sudah dapat gaji, ibu belikan seberapa banyak komik yang Hilal mahu ya? Hilal perlulah sabar. Sabar itukan separuh daripada iman?” Nasihat Puan Badariah diterima dengan anggukan.

****

“Eh, Hilal tidak tidur lagi?” Kerja-kerja menjahitnya ditolak ke tepi supaya Hilal dapat duduk di pangkuannya.

“Belum lagi. Ibu… esok ibu tolong belikan komik yang Hilal tunjukkan semalam ya? Hilal mahu beri hadiah buat kakak sempena hari lahirnya nanti,” pinta Hilal sambil menyerahkan seplastik wang syiling kepada ibunya.

Ketika itu, Puan Badariah dapat merasakan rasa sebak menyelubungi dirinya. Dia cuba menahan air mata yang bertakung di pelupuk mata yang pada bila-bila masa sahaja akan turun membasahi pipi. “Hilal dapat dari mana wang sebanyak ini?” tanya Puan Badariah, nada suaranya dikawal supaya dapat menutup rasa sedih yang menghambat hati.

“Hilal menabung setiap hari,” balasnya sebelum tangan pantas menekup mulutnya yang menguap kerana mengantuk.

“Baik anak ibu ini, pergilah masuk tidur. Esok ibu janji akan belikan komik yang Hilal minta. Ibu akan siap balut.” Hilal mengangguk teruja. Selepas itu, dia mencium tangan ibunya sebelum menenyeh mata yang pedih. Langkah kakinya diayun menuju ke bilik tidur.

Air mata yang ditahan, akhirnya gugur juga. Terselit rasa kagum dengan anak bongsunya yang satu itu. Tidak langsung mengambil hati dengan sikap dingin oleh kakaknya ketika berada di kedai buku semalam. Mereka berdua memang tidak pernah sehaluan. Namun, si adik selalu mencuba untuk merapatkan jurang pemisah antara mereka berdua. Kerja-kerja menjahit yang tergendala tidak mahu disentuh lagi, sebaliknya Puan Badariah mengorak langkah menuju ke bilik tidur Hilal.

Kelihatan Hilal tidur dengan dahinya yang berkerut seperti sedang bermimpikan sesuatu yang buruk. Puan Badariah cepat bertindak dengan menepuk lembut paha anak bongsunya. Terserlah sifat keibuannya pada malam yang penuh syahdu itu. Bagaikan terkena sentuhan magis ibunya. Serta-merta, kerutan pada dahi Hilal perlahan-lahan mengendur. Puan Badariah menyelimuti anaknya sebagai sentuhan terakhir sebelum menutup daun pintu bilik tidur itu.

****

“Zarina, ibu pergi hantar adik. Sarapan, ibu sudah sediakan,” laung Puan Badariah dari luar rumah. Dia terpaksa berbuat demikian kerana sudah lewat untuk menghantar Hilal ke sekolah tahfiz. Zarina pula liat sungguh untuk bangun. Walhal, sudah tujuh kali Puan Badariah kejutkan Zarina untuk solat Subuh. Tubuhnya masih dibalut selimut. Tiada ada tanda-tanda mahu bangun ataupun membuka mata. Enjin kereta dihidupkan. Sebelum membelah kesesakan jalan raya, Hilal sendiri yang membacakan doa menaiki kenderaan.

“Ibu jangan lupa ambil Hilal nanti ya? Hilal mahu sambut hari jadi Kak Zarina juga.” Suara Hilal memecahkan suasana hening dalam kereta.

“Mestilah, mana mungkin ibu boleh lupa anak yang seorang ini.” Hilal pantas memeluk lengan ibunya, mahu bermanja-manja.

“Ibu janji ya!” Puan Badariah tertawa kecil sambil mengangkat tangan tanda sumpah setia. Matanya kembali fokus kepada pemanduan apabila lampu isyarat merah bertukar hijau.

****

Hari Jadi Zarina

Ish.. mana semua orang ini? Tidak mungkin lupa hari yang paling penting sekali?” Mulut Zarina asyik menuturkan ayat yang sama setelah lama menunggu kelibat adik dan ibunya. Kepalanya berserabut apabila kek hari jadi yang sepatutnya menghiasi meja makan masih tidak ada. Keningnya bertaut apabila Puan Badariah yang mengambil Hilal dari sekolah masih tidak pulang! Kepalanya yang berselirat itu ditenangkan dengan jawapan yang sengaja direka. Mungkin Puan Badariah mahu membuat kejutan istimewa buat dirinya. Mungkin ibunya merancang untuk membawanya membeli-belah sebagai hadiah hari jadi, Hilal di sekolah dilawat terlebih dahulu sebelum ditinggalkan sendirian kerana tidak mahu adiknya yang banyak songeh itu cemburu. Ya. Dua jawapan itu direka sebagai penyedap hati. Dua jawapan itulah yang membuatkan hidungnya terkembang-kembang senang hati.

Sesi mengembangkan hidung itu terus terhenti apabila kedengaran pintu dibuka dengan rakus. Susuk tubuh wanita itu sepertinya terkocoh-kocoh mahu masuk ke dalam rumah bagai dikejar oleh hantu. Matanya meliar memerhati segenap ruang rumah. Pandangannya terlekat kukuh pada wajah Zarina.

Dengan nada cemas Puan Badariah berkata, “Mengapa tidak angkat telefon? Ibu telefon Zarina 20 kali tahu?”

“Mengapa pula dengan ibu? Tiba-tiba sahaja, melenting Mana pula perginya budak yang banyak songeh itu?” Zarina pula membalas kasar soalan ibunya. Memang benar, tadi telinganya ada juga menangkap bunyi telefon rumah berdering tetapi dia lebih leka melayari laman sosial Facebook.

Selepas lama beristighfar, Puan Badaraiah meyambung lagi, kali ini nadanya lebih tenang, “Mengucap Zarina... Hilal tiada lagi pun kamu masih mahu membencinya? Kamu masih mahu bersikap dingin dengan dia? Ibu pun tidak tahu lagi, apa dosanya kepada kamu?” Luahan hati Puan Badariah itu berjaya membuatkan Zarina tersentak. Gelas ditangannya jatuh pecah berderai.

Bagai tidak percaya. Baru seminggu yang lalu adiknya berada di rumah ini tetapi apabila mengetahui berita yang adik sudah tiada, hatinya bagai dikoyak-koyak. Selama adiknya masih hidup, dia tidak pernah menghargai walau sekecil zarah nikmat yang Allah beri. Kini, sudah terlewat. Nikmatnya ditarik semula atas sikapnya sendiri pada hari jadinya.

Puan Badariah segera mendapatkan Zarina yang terduduk sambil memeluk lututnya lalu dia menghulurkan bungkusan hadiah yang dibalut kemas.

“Adikmu seorang syahid. Bangunan sekolah tempat adik belajar terbakar akibat litar pintas. Tiada siapa yang terselamat,” Puan Badariah menjelaskan sebelum menyuruh Zarina membuka hadiah itu. Terdapat sebuah komik dan surat di dalamnya. Tanpa lengah, dia membaca isi kandungan surat itu.

Kak Zarina yang disayangi,
Selamat hari jadi! Kak Zarina sudah tua ya? Hihi… Hilal harap Kak Zarina suka dengan hadiah yang Hilal beri ini. Nanti, Kak Zarina bacakan untuk Hilal ya? Semoga Kak Zarina diberkati Allah dan dipanjang umur.
p/s: Hilal tulis surat ini sendiri. :)


Air mata berjurai-jurai mengalir di pipi. Surat itu digenggam erat. “Maafkan Zarina, ibu! Maafkan kakak, Hilal!” Zarina meraung. Esakannya kian kuat. Dia sangat mengharap agar Hilal dapat mendengar ucapan maafnya. Dia menggeleng berkali-kali seperti tidak mahu kejadian itu berlaku. Puan Badariah yang berada di sisi menenangkan anak sulungnya. Tetapi takdir sudah tertulis, tidak mungkin dapat diubah.

2 comments: