1 2

Friday 4 April 2014

Sebuah Penantian

Teks: Syahmi MS



Perasaan rinduku akan ibu dan ayah makin membuak-buak, seiring dengan air mata yang berjurai-jurai bergelinangan di pipi. Aku tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kecuali berdoa. Kedua-dua tanganku menadah doa. Berdoa kepada maha Pencipta. Berdoa supaya pesawat MH370 ditemui. Berdoa supaya ibu dan ayah sentiasa dilindungi.

****

“Jadi, kami adik-beradik tidak boleh ikut ibu dan ayah?” soalku, berharap agar ibu dan ayah mempertimbangkan semula permintaanku.

“Tidak boleh. Ibu dan ayah pergi sekejap sahaja kerana urusan kerja. Lagipun, cuti sekolah masih ada lagi, nanti kita sekeluarga boleh bercuti sepuas-puasnya,” jelas ibu dengan jawapan yang masih sama. Setiap kali itu juga, aku akan menghela nafas berat. Aku cuba menerima dengan hati yang terbuka.

"Ibu memang tidak sayangkan Alisha lagi bukan? Ayah pun sama! Mesti ayah sudah ada Alisha yang baru. Jadi, ayah mahu tinggalkan Alisha di sini!" bentak adik bongsuku secara tiba-tiba. Kemudian, Alisha menangis sambil berlari meluru ke biliknya.

Sedari tadi, Ikhwan yang mesra dengan panggilan Angah hanya membatukan diri di sofa. Riak mukanya yang tenang itu jelas terselit perasaan hampa.

"Sebentar lagi, Pak Su datang. Sepanjang ibu dan ayah berada di Beijing, dia akan jaga kamu semua. Kamu semua jaga sikap masing-masing ya," nasihat ibu. Sementara masa masih berbaki, ibu mengambil peluang untuk memeriksa barang-barang dalam bagasi. Jangan ada yang tertinggal. Aku hanya memerhati dengan tanpa sebarang bunyi.

Suasana hening menguasai segenap ruang tamu sehinggalah bunyi loceng rumah ditekan, disusuli suara manusia memberi salam. Ikhwan lebih pantas bertindak, dia segera mengorak langkah ke pintu rumah. Tekaanku tepat. Pak Su sudah sampai, bersama beg galas yang sarat digalasnya.

Pak Segera menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ibu. "Kak, apa khabar?" sapanya, mesra.

"Khabar baik, mak di kampung sihat? Akak tidak sempat untuk menelefonnya," tanya ibu semula. 

"Ibu baik-baik sahaja. Sejak akhir-akhir ini ibu penat... mungkin sebab terlalu lama bekerja di kebun," jelas Pak Su. Hatiku juga tertanya-tanya. Bagaimana keadaan nenek di kampung? Nenek ialah antara insan yang paling aku sayang.

Selepas meletakkan beg, tangannya dihulurkan pula kepada ayah yang baru sahaja meletakkan dulang yang berisi minuman itu di atas meja. "Jemputlah minum, Azmi. Izwan... Ikhwan tunggu apa lagi? Salamlah Pak Su kamu ini." Arahan ayah segera dipatuhi. Muka kelatku dipaksa untuk mengukir senyuman.

Aku mencuit tangan ibu. Membuat isyarat mahu pergi memujuk Alisha. Perlahan-lahan langkahku diatur menuju ke kamarnya.

"Alisha, boleh along masuk?" tanyaku. Setelah lama menunggu, tiada suara yang menyahut. Tanganku pantas mengetuk pintu.

"Masuklah!" laung Alisha. Aku tersenyum kecil.

Aku memulas tombol pintu lalu melabuhkan duduk di bucu katilnya.

"Mengapa Alisha nangis-nangis begini? Alisha tahu? Ahli sihir katak akan culik sesiapa sahaja yang menangis! Lebih-lebih lagi, budak perempuan yang bernama Alisha." Pembohonganku berjaya. Terasa aman apabila tiada lagi suara sumbang yang menyeksa telinga.

"Alisha takut katak! Tolong selamatkan Alisha!" teriaknya pula. 

"Jangan risau... nanti Along sumpah dia jadi rama-rama pula!" Sekali lagi, aku terpaksa melayan kerenah Alisha. Ada-ada sahaja. Aku melirik jam yang disemat kemas dipergelangan tangan. Tinggal setengah jam sahaja lagi, sebelum kami akan bertolak ke lapangan terbang.

"Alisha... jom kita hantar ibu dan ayah?" aku cuba untuk memujuk. 

Anggukannya berjaya membuatkan aku menghela nafas lega. Sebaik menjejakkan kaki di ruang tamu, Alisha segera berlari mendapatkan ibu. "Ibu, Alisha minta maaf!" Pelukan Alisha disambut mesra ibu.

"Ibu maafkan. Jom, kita bergerak sekarang!" 

"Eh, Alisha? Sudah lupa Pak Su?" ujar Pak Su sebaik sahaja pelukan antara Alisha dan Ibu dileraikan.

Beberapa kali, Alisha menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sejak lahir, Alisha belum pernah melihat wajah Pak Su kerana semasa Alisha dilahirkan Pak Su masih belajar di luar negara. Perlahan-lahan dia melangkah untuk bersalaman dengan lelaki yang berumur lewat 20-an itu.

Selepas memastikan rumah selamat dikunci, ayah memandu kereta membelah jalan raya menuju ke lapangan terbang. 

****
"Along jaga adik-adik ya? Ibu janji... ibu akan balik sebelum keputusan SPM keluar." Rasa sebak terbuku di dada. Hatiku entah mengapa terasa sangat berat untuk melepaskan ibu.

"Ibu naik pesawat yang mana satu?" tanya Angah.

"Itu... yang tertulis MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing." Penerangan ibu berjaya mencuri tumpuanku. Apa yang terpacul dari mulut ibu sama seperti yang tertera di jadual penerbangan yang disediakan di pintu keluar Balai Berlepas.

Aku cuba menahan daripada menumpahkan air mata. Hilang sahaja bayangan ibu dan ayah dari pandangan, segera air mata jantan mengalir di pipi. Goyah sebentar kekacakanku apabila ditertawakan oleh Pak Su. Alisha dan Angah juga masing-masing dihanyut perasaan sedih.

"Kalian mesti lapar. Jom, Pak Su belanja makan!" Tawaran istimewa Pak Su berjaya menghalang rasa sebak daripada merebak. Perut masing-masing sudah mengeluarkan irama tersendiri.

***
"Along... Along!" panggil Pak Su. Hasrat hati mahu pergi ke dapur untuk membuat Milo terpaksa dihentikan.

"Ya?" jawabku seraya melabuhkan duduk di sofa berdekatan dengan Pak Su.

"Apa nama pesawat yang ibu dan ayah kamu naik itu?" Keningku bertaut. Dahiku berkerut. Cuba mengimbas semula nama pesawat itu dalam kotak minda.

"MH370 rasanya, kalau saya tidak silaplah. Mengapa?" Jari telunjuk Pak Su dihalakan tepat pada skrin televisyen.

Ya Allah! Aku dan Pak Su saling berpandangan. Cubitan pada pipi dilakukan secara berganti-ganti. Namun, semua itu tidak berjaya memadamkan mimpi negeri ini. Aku cuba menangkap setiap butir perkataan yang keluar dari mulut pembaca berita itu.

Astaghfirullah! Pesawat MH370 hilang dan tidak dapat dikesan melalui radar? Pak Su cuba menukar setiap saluran televisyen yang ada. Berita kehilangan pesawat MH370 menjadi tajuk utama setiap stesyen televisyen pagi itu.

Tiba-tiba, bunyi gelas jatuh menguasai suasana. Angah? Aku pantas mendapatkan Angah.

Mujur ada plastik kosong yang terbiar di atas meja ruang tamu itu. Tanganku mengutip kaca-kaca yang bertaburan.

"Ibu dan ayah okey?" tanya Angah. Matanya tidak melihat aku. Dia hanya terpempan seperti orang buta.

Aku hanya menggeleng. Lidahku tidak mampu menutur sebarang kata.

"Keadaan ibu dan ayah bagaimana?" tanya Angah lagi. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menjawab.

"Along tidak tahu." Darah mula mengalir di jari, kesan kaca gelas itu. Perit luka di hati lebih perit luka di jari.
Pak Su datang sambil sehelai tisu di tangan seraya dia membalut jariku.

"Biar Pak Su yang tolong." Aku mengangguk sambil tersenyum. Angah kupimpin menuju ke sofa di hadapan televisyen. Mujur Alisha masih tidur. Apabila dia sudah terjaga nanti, apa yang perlu aku jawab? Soalan demi soalan bermain di fikiran.

'Ibu... ayah di mana kalian?' hati kecilku berteriak.

***
"Along jaga adik-adik ya? Ibu janji... ibu akan balik sebelum keputusan SPM keluar." Pesanan ibu masih terngiang-terngiang di fikiran. Telah lama aku sabar menanti. Tidak sanggup aku terseksa lagi. Ya Allah, Engkau pertemukan pesawat MH370... Amin.


#doakanmh370

2 comments:

  1. Sudah baca. Menarik. T_T

    ReplyDelete
  2. Tepuk pipi apabila perasan sudah ada satu komen pada entri ini. Hoho... akak punya lagilah 'jjang'!

    ReplyDelete