1 2

Wednesday 28 May 2014

Ulasan Buku: Miss K-Pop

Teks: Syahmi AS
Foto: pts.com.my


Tajuk: Miss K-Pop

Penulis: Nur Izzati

Rating buku: saya bagi 4 sebab saya suka K-Pop.

Blurb: 
Aleena seorang gadis yang ceria, tetapi kuat berangan. Aleena sangat meminati Hyuna, artis popular Korea. Demi menunaikan impiannya, dia sanggup melakukan apa sahaja, tetapi pergerakannya terbatas kerana dia masih bersekolah. Disebabkan terlalu obses dengan K-pop, Aleena gagal dalam pelajaran. Ayahnya menetapkan syarat, sekiranya ingin bercuti di Korea, dia perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Suatu hari, Aleena mencuba nasib dengan menyertai peraduan Mi Ramyun yang menawarkan hadiah percutian di Korea. Ikuti perjalanan Aleena dalam menghadapi setiap cabaran dalam Miss K-Pop.

Ulasan:
Semasa dalam proses membaca buku ini, saya kerap kali terkagum dan terkaku malu. Kagum kerana penulisnya baru berusia 9 tahun tetapi karya sudah hebat begini! Karya sulung pula itu. Saya terkaku malu pula kerana saya sudah berusia 13 tahun (belum sampai hari lahir yang ke-14 saya lagi) tetapi masih tidak mempunyai hasil dalam bidang penulisan novel. 

Pertama kali bertentang mata dengan kulit buku ini, saya jadi tidak keruan! Saya mesti dapatkanya! SAYA MESTI DAPATKANNYA! Balik sahaja dari sekolah, saya terus ajak ibu untuk pergi ke kedai buku Popular. Malangnya, apa yang saya inginkan masih lagi tiada di rak buku novel remaja. Memang betullah, Allah itu perancang yang baik. 

Seminggu sebelum saya mahu mula menduduki peperiksaan, saya berpeluang untu pergi ke kedai buku Hasani pula. Asal tujuan saya, mahu beli buku latihan dan rujukan. Study Last Minute!  Alang-alang sudah sampai di kedai buku, saya tidak segan membelah arus yang bertentangan dari rak buku latihan. Alhamdulillah, saya dapat rembat dua novel penulis Tunas Super iaitu Miss-Kpop dan Cupcake Girl.

Apa yang membuatkan novel ini berbeza dari novel yang pernah saya baca adalah, jalan ceritanya yang membuatkan orang yang membaca dapat bersama-sama melancong ke Korea. Huhu... ini yang saya suka! Selain itu, ada juga diselitkan panduan untuk melancong ke Korea dan pengiraan nilai mata wang negara Korea (won). Secara tidak langsung, pembaca juga dapat mengenali budaya dan dapat mempelajari ungkapan-ungkapan yang biasa dituturkan oleh masyarakat Korea. Mahu merasai sendiri, bagaimana perasaan melancong ke Korea? Dapatkan novel Miss-Kpop ini segera! ^^




4 comments:

  1. Membaca review ni membuatkan akak teringin nak mendapatkannya. T_T

    ReplyDelete
  2. Hehehe... kalau akak baca mesti tak percaya penulisnya baru berumur 9 tahun.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, salam perkenalan dan salam penulisan.

    Wah, sangat hebat. Baru berusia 9 tahun dah dapat hasilkan buku.

    P/S: Sudahkah membaca buku saya? Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM 2014. Jika berminat boleh dapatkan daripada saya. Maklumat lanjut boleh baca di blog saya. Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum dan salam sejahtera, ^_^

    Saya sokong apa yang abang katakan (saya baru 12 tahun :3). Walaupun saya tidak minat Korea, saya tetap kagum terhadap penulis dan juga novelnya ini. Novelnya ini telah memberikan inspirasi kepada ramai kanak-kanak di luar sana untuk turut menulis novel sehinggakan saya pun terikut mahu menulis novel. Saya telah menjadikan novel ini sebagai rujukan saya ketika kurang bersemangat untuk menulis. :)

    Alhamdulillah, disebabkan novel ini, saya telah pun berjaya menulis sebuah novel sendiri yang sudah diterbitkan dan kini berada di pasaran. Sejujurnya, saya begitu berterima terhadap penulis ini. Tanpa novel ini, mungkin saya tidak akan menyiapkan novel sulung saya. Sekalung penghargaan buat Nur Izzati. ^_^ :) ;)

    p/s: Sudahkah abang mendapatkan sambungan novel Miss K-Pop ini iaitu Miss K-Pop: Transfer Student? :3

    ReplyDelete